Sorting by

×

Kapal persiaran hampir karam di Langkawi, empat kru selamat

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ALOR SETAR 28 Feb. – Empat kru sebuah kapal persiaran terselamat apabila kapal itu hampir karam selepas terlanggar batu di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata dalam kejadian 10.30 malam itu, kapal persiaran ‘Epic Princess’ itu sedang dalam perjalanan dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang ke Langkawi.

KEADAAN kapal persiaran yang hampir tenggelam selepas terlanggar batu di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, malam tadi. Foto kredit APMM.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan daripada seorang kru kapal yang turut melibatkan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Laut Malaysia.

“Kapten kapal berumur 42 tahun serta tiga kru kapal berumur antara 26 hingga 54 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah diselamatkan oleh kapal KM Tenggol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

EMPAT kru kapal persiaran yang diselamatkan APMM. Foto kredit- APMM.

Menurut beliau kapal berkenaan kemudian ditunda ke Boustead Shipyard, Langkawi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Zawawi mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memaklumkan destinasi kepada keluarga dan membawa bekalan makanan yang mencukupi sekiranya ingin melakukan aktiviti di laut.

“Kita juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Zon Maritim Malaysia dan orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ke Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1272
Kongsi :
Previous post Polis nafi punca kemalangan akibat anggota trafik iring orang kenamaan
Next post PPSM bakal bina ‘Pit Stop Cruise’ di Sungai Melaka.
Ubah saiz-+=