
KAPAL PERSIAR SINGAPURA PILIH MELAKA DESTINASI PERTAMA
KOTA LAKSAMANA 27 Mac – Melaka terus mengukuhkan statusnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila menjadi negeri pertama dipilih sebagai destinasi persinggahan kapal persiaran mewah dari Singapura.
Dalam usaha menjadikan Melaka sebagai hab pelayaran utama di Asia Tenggara, StarCruises telah mengumumkan pelancaran kapal persiaran bersaiz sederhana ‘Star Voyager’ yang menjadikan Melaka sebagai destinasi pertama dalam pelayaran sulungnya.
Presiden StarCruises dan Dream Cruises Michael Goh berkata, pemilihan Melaka sebagai destinasi pertama mencerminkan kepentingan strategik negeri ini dalam peta pelancongan serantau.
“Melaka bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, tetapi juga menawarkan infrastruktur yang sesuai untuk industri pelayaran.
“Star Voyage mempunyai kapasiti 2,000 penumpang yang telah memulakan pelayaran pertama dari Singapura pada 26 Mac sebelum tiba di Melaka pada hari ini (27 Mac).
“Kapal ini kemudian akan meneruskan perjalanan ke Jakarta sebelum kembali ke Singapura,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan pelancong kapal persiaran itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka di sini, hari ini.
Katanya, bermula 27 Mac hingga 16 April serta 12 hingga 27 Julai 2025, Star Voyager akan menjadikan Melaka sebagai destinasi utama dari Singapura.
“Pada 12 hingga 22 Julai 2025, Negeri Melaka akan dijadikan pelabuhan utama bersama Singapura yang memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penumpang untuk berlepas dari mana-mana pelabuhan.
“Pelancong akan mula berangkat dari Melaka pada 12 Julai bagi memberi peluang kepada mereka memulakan pelayaran lima malam dari Kompleks ICQS Melaka ke Ho Chi Minh City, Vietnam seterusnya ke Singapura dan kembali ke Melaka.
“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan daya tarikan Melaka sebagai destinasi pelayaran utama serta menarik lebih banyak pengendali kapal persiaran antarabangsa untuk berlabuh di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.