Sorting by

×

Kapal Layar Fu Ning potensi gamit pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 5 Mei – Kapal layar Fu Ning sedang berlabuh di negeri ini diyakini mampu menggamit kehadiran lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka jika ia dibuka kepada orang awam.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kapal layar tradisional terbesar dunia itu mampu mendedahkan kepada pelancong dalam aspek seni bina serta budaya masyarakat Cina yang berlayar ke negeri ini suatu ketika dahulu.

Susulan itu beliau berkata, satu perbincangan akan dilaksanakan bersama pengurusan kapal layar berkenaan bagi memastikan hasrat untuk memperkasakan pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dicapai.

“Kita akan berbincang supaya kapal layar ini dibuka kepada pelancong bagi memberikan pengalaman sebenar berkaitan sejarah dan budaya yang disemat di kapal ini.

“Besarlah harapan Negeri Melaka jika pihak pengurusan ini memberikan kita peluang dalam industri pelancongan, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Kerajaan Negeri ke Kapal Tradisional Terbesar Dunia yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, hari ini.

Terdahulu, program lawatan itu telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta tetamu lain.

Fu Ning yang mempunyai dua tiang layar sepanjang 41.6 meter dan lebar 12 meter dikendalikan sembilan kru merupakan sebuah kapal layar diperbuat daripada kayu, telah memulakan pelayarannya dari Guangzhou, China sejak Januari lalu.

Pelayaran itu diteruskan ke Singapura dan menjadikan Melaka sebagai destinasi ketiganya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Jom ‘ngoca’ tahun depan diatur lebih meriah
Next post Persiapan rapi Pameran Hang Tuah Jun depan
Ubah saiz-+=