Kantoi sorok barang kawalan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu dua premis milik warga asing di Melaka Tengah hari ini disyaki cuba menyorok barang kawalan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, susulan aduan orang ramai mengenai kesukaran membeli barang kawalan itu, anggota penguat kuasa kemudiannya menyamar dan cuba membeli barang kawalan di premis berkenaan.

Katanya, ketika penyamaran dibuat, alasan diberikan meragukan dan anggota kita terpaksa meredah masuk untuk memeriksa secara keseluruhan premis ini.

“Hasil pemeriksaan ternyata peniaga ini menyorok barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung di bawah katil, bawah kaunter bayaran dan belakang rak barang untuk dijual kepada restoran berhampiran dengan harga lebih tinggi.

“Peniaga ini didapati hanya menjual kepada warga asing dan bukannya kepada penduduk setempat, mereka juga disyaki beroperasi tanpa permit dan lesen sah untuk menjual barang kawalan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Norena berkata, hasil pemeriksaan itu KPDN Melaka membuka dua kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap dua premis berkenaan.

“Kes akan disiasat dan jika sabit kesalahan dan bagi mana-mana perbadanan/pertubuhan/syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya akan didenda tidak melebihi RM5 juta, mana-mana peniaga melakukan kesalahan di bawah akta ini bakal berdepan tindakan penggantungan Lesen barangan kawalan berjadual (CSA) dan jika sabit kesalahan boleh mengakibatkan lesen CSA ditamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Norena berterima kasih kepada masyarakat khususnya warga Melaka yang sentiasa prihatin dalam menegakkan hak mereka.

“Kami sentiasa bersama masyarakat, jika ada sebarang keraguan boleh terus adukan kepada KPDN kerana kami sedia membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1250
Kongsi :
Previous post Pikat pelabur Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi
Next post Potensi ekosistem industri EV, NEV Melaka-Guigang
Ubah saiz-+=