‘Kanggaru mini’ dan aviary burung produk baharu Zoo Melaka
AYER KEROH 11 Mei- Walabi atau ‘kanggaru mini’ dan aviary (lau burung) burung antara dua terikan terbaharu disediakan di Zoo Melaka dalam usaha pihak pengurusannya untuk menarik kunjungan lebih ramai pelawat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata kemasukan haiwan-haiwan terbabit dijangka dapat meningkatkan kadar kemasukan pengunjung ke Zoo Melaka sehingga 30 peratus.
Katanya, produk baharu Zoo Melaka itu termasuk sebuah kafe ‘Wildlife’ iaitu kerjasama antara pihak zoo dan sebuah syarikat swasta membabitkan kos keseluruhan RM5 juta.
“Kita ada lapan ekor walabi baka Belgium dan Australia namun dibiakkan di Johor, saya pasti pelawat terhibur menyaksikan gelagat haiwan ini yang comel.
“Selain itu, kira-kira sebanyak 70 ekor unggas spesis Sun Conure dan Red Lorries ditempatkan di aviary burung, termasuk sepasang burung jenis Paradisea Minor atau cenderawasih,” katanya pada sidang media selepas melawat tarikan baharu di Zoo Melaka hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Zoo, Zanariah Khamis.
Shadan berkata, pengunjung mahu merasai pengalaman memberi makan dan dikelilingi burung yang jinak hanya perlu membayar RM5.
“Saya yakin kita dapat capai peningkatan sebanyak 30 peratus yang disasarkan, lebih lagi negara kini sedang dalam peralihan ke fasa endemik,” katanya.
Menurutnya, harga tiket masuk RM38 dikenakan dianggap jumlah yang berbaloi dan tidak terlalu mahal kerana pihak zoo menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pelawat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.