Kanak-kanak perempuan tiga tahun lemas tergelincir dalam longkang
ALOR SETAR 4 Mei. – Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Felda Gunong Bongsu sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin dekat Kulim, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Naera Dellisha Muhammad Nazri, sedang bermain bersama-sama beberapa kanak-kanak lain sebelum terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
“Abang mangsa, Muhammad Thaqif yang berumur lapan tahun telah pulang ke rumah dan memaklumkan mengenai kejadian kepada bapanya, Muhammad Nazri Abu Saman, 36, bahawa adiknya telah jatuh ke dalam longkang ketika bermain semasa hujan lebat.
“Bapa mangsa serta beberapa ahli keluarga yang lain telah keluar mencari mangsa. Mangsa yang jatuh ke dalam longkang telah dibawa arus deras ke longkang besar sebelum dihanyutkan terus ke dalam Sungai Dingin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azhar berkata mayat mangsa telah dijumpai oleh orang awam sekitar 8 malam kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan tergelincir sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.24 malam sebelum tiba pada 7.57 malam.
“Operasi disertai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dengan sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti. Anggota telah melakukan pencarian di permukaan air sungai dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.