Kanak-kanak perempuan maut tersangkut di buaian
SEREMBAN 23 Feb – Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke dalam sebuah bilik di pusat penjagaan berkenaan untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik itu untuk tugasan lain pada 2 petang.
“Sejam kemudian, wanita itu (pengasuh) kembali semula ke bilik dan mendapati mangsa (Nour Rania Asyifaa) tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung pada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian.
“Wanita itu terus mengambil mangsa dan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa didapati gagal bernafas semula sebelum membawanya ke KK Sendayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati pusat penjagaan di rumah teres satu tingkat itu beroperasi sejak 2019 dan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dimiliki bersama seorang lagi pengasuh wanita.
Menurutnya, selain Nour Rania Asyifaa, terdapat 14 bayi dan kanak-kanak berusia lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun di pusat penjagaan tersebut bersama kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu.
Nanda berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.
Katanaya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.