
Kanak-kanak empat tahun maut dihempap tiang pagar
ALOR GAJAH 13 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut akibat ditimpa batu tiang pagar dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bukit Nangka, Gadek, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian disedarinya ibu mangsa kira-kira jam 7 malam selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah.
Beliau berkata, selepas melakukan pemeriksaan wanita berkenaan mendapati anaknya Nur Iman Irdina Abdul Nuur, berada dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di bahagian kepala.
Katanya, sebelum kejadian mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik dikatakan sedang bermain seorang diri di luar rumah manakala abangnya berada di ruang tamu.
“Kejadian dikatakan berlaku apabila batu pagar rumah diruang beranda tumbang lalu menghempap bahagian leher mangsa.
“Susulan itu mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan telah meninggal dunia ketika sedang dirawat,” katanya.
Arshad berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat daripada kesan hentakkan kuat objek keras selain kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.