Kanak-kanak didera, waris layak menjaga belum dimuktamadkan
AYER KEROH 14 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum memuktamadkan keputusan waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Jumaat lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, meskipun waris kanak-kanak terbabit sudah dikenal pasti namun keputusan itu belum diputuskan.
Katanya, keputusan itu hanya akan dibuat selepas kanak-kanak tersebut yang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dibenarkan keluar.
“Kanak-kanak ini masih di hospital tetapi pelaku sudah ditahan pihak polis, bila dia (kanak-kanak) ini keluar hospital nanti baharu kita muktamadkan keputusan siapa yang layak menjaganya.
“Kita memang sudah ada ‘background’ (latar belakang) siapa yang akan mengambil anak ini, tetapi belum lagi muktamad, bagaimanapun kerja-kerja persediaan itu sudah ada daripada JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawa Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) @ Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.
Jelasnya, kanak-kanak berkenaan telah dimasukkan di wad biasa HSI, namun masih memerlukan rawatan yang rapi.
“Sudah tentu diusia tujuh tahun dia mengalami trauma, anak ini baharu sahaja setahun tinggal dengan ibu kandung, bila berlaku perkara begini sudah pasti dia sangat terkesan.
“Jadi ini tugas kita untuk pastikan kanak-kanak ini mendapat dorongan dan panduan, pihak JKM sentiasa menjaga mereka untuk pastikan tiada gangguan lain terhadap anak ini,” katanya.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.