Kampus Lestari diperluas, perkasa kesedaran alam sekitar di IPT

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PENGKALAN BATU 25 Jun – Kerjasama strategik dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi memperluaskan kesedaran memelihara alam sekitar akan terus diperkasakan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa berkata, penganjuran program Kampus Lestari yang diperkenalkan di Melaka tahun lalu akan terus diperluaskan di semua IPT di negeri ini selepas penganjurannya membawa impak positif kepada pelajar.

Menerusi penganjuran itu, ujarnya, pelbagai pengisian program dapat dilaksanakan seperti pelaksanaan program pengurusan sisa pepejal, kompos serta pelbagai lagi yang membawa pulangan kepada pihak IPT.

“Seperti tahun lalu, ia pertama kali dilaksanakan membabitkan Politeknik Melaka yang menekankan aspek pengurusan sisa pepejal yang telah membawa pulangan kepada pelajar.

“Mana-mana bahan buangan seperti komputer riba, telefon atau pelbagai lagi dijual semula dan mereka boleh meraih keuntungan, selain pada masa sama mampu meningkatkan kesedaran IPT dalam pemeliharaan alam sekitar.

“Pada tahun ini kita akan perluaskan lagi program ini dengan pelbagai pengisian berbeza dengan matlamat untuk memastikan kesedaran ini diperkasa dari semasa ke semasa dalam kalangan warga IPT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2024 Peringkat Negeri Melaka di sebuah kilang semikonduktor, di sini, semalam.

Sambutan itu telah dirasmikan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Nor Zaki Md Nor serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Rosli memaklumkan, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak sebagai rakan strategik bagi memastikan hasrat memperkasa kesedaran alam sekitar diperluas di Negeri Melaka.

“Ia bukan sahaja di peringkat industri mahupun IPT namun kita sedia menjalin kerjasama strategik seperti ini dengan mana-mana pihak termasuk masyarakat di negeri ini bagi memastikan kesedaran itu terus diperluaskan selari dengan hasrat kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
Kongsi :
Previous post Teknologi AI, hologram ‘hidupkan’ Pameran Hang Tuah
Next post Transformasi digital ubah nasib peniaga sate bahu jalan
Ubah saiz-+=