Kampung Ramuan Cina Besar banjir lagi

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER LIMAU 10 Ogos – Hujan lebat mulai jam 9.45 pagi ini menyebabkan sembilan rumah di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini sekali lagi dinaiki air selepas kejadian yang sama pada 4 Ogos lalu.

Pagi ini kediaman yang sama, sekali lagi dinaiki air setinggi kira-kira 0.6 meter selepas anak sungai berhampiran kediaman berkenaan melimpah.

Penduduk, Mohd Azrul Gamruzaman, 38, berkata hujan lebat menyebabkan anak sungai berkenaan melimpah pada jam 11 pagi, sekali gus menyebabkan mangsa banjir bertungkus-lumus memindahkan barangan elektronik dan perabot ke tempat tinggi.

“Keadaan hari ini lebih kurang sama dengan keadaan pada 4 Ogos lalu yang berpunca daripada anak sungai melimpah ke rumah mangsa.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada mangsa banjir dipindahkan dan hujan mulai reda pada jam 11 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kenderaan ringan masih mampu meredah banjir di Jalan Masjid Tanah-Lubok Cina di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah.

Meskipun kediamannya sendiri tidak dinaiki air, Mohd Azrul tetap prihatin meninjau keadaan mangsa banjir dengan menunggang motosikal di laluan yang dinaiki air.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati banjir menyebabkan laluan antara pekan Masjid Tanah ke Lubok Cina di kampung berkenaan dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter tetapi masih mampu dilalui kenderaan kecil, termasuk motosikal.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Muthu berkata, dia mengambil inisiatif sendiri mengawal lalu lintas di laluan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Air sudah naik tetapi kereta dan motosikal masih boleh lalu di sini dan saya akan menahan kenderaan daripada melaluinya jika mendapati air semakin tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer ketika dihubungi berkata, tiada mangsa banjir dipindahkan kerana air mulai surut pada jam 12.30 tengah hari.

“Banjir semakin surut, sama seperti yang berlaku pada 4 Ogos lalu tetapi pelbagai agensi kerajaan sudah digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

“Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (JAPERUN) DUN Ayer Limau memberikan makanan dan keperluan lain bagi memastikan mangsa banjir dibantu mengharungi ujian ini,” katanya.

Beliau berkata, banjir berulang berpunca daripada anak sungai yang melimpah berikutan hujan lebat di lokasi kejadian dan hulu sungai utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3197
Kongsi :
Previous post Luluh hati lihat rumah dibadai ribut
Next post UTeM-UAE rangka kerjasama pendidikan berimpak tinggi
Ubah saiz-+=