Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL: MELAKA BERI SUBSIDI RM5 TUKAR KAD PENGENALAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MASJID TANAH 15 April – Kerajaan Negeri akan memberikan subsidi RM5 bagi pertukaran kad pengenalan, khas untuk penduduk yang telah menerima alamat baharu menerusi inisiatif Kampung Digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dengan subsidi itu, penduduk hanya perlu membayar RM5 sahaja berbanding RM10 untuk menukar kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara.

“Jadi penduduk yang berada dalam struktur Kampung Digital ini boleh menukar kad pengenalan mereka dengan sebahagian kos penukaran ditanggung oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Kad pengenalan baharu itu akan dilengkapi alamat baharu hasil inisiatif Kampung Digital, di mana setiap rumah diberikan nombor, nama lorong dan kod QR untuk memudahkan akses ke alamat setiap rumah.

“Dengan alamat baharu dan kod QR itu, ia secara tidak langsung memudahkan sistem penyampaian kepada rakyat dan ia boleh digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital di SMK Hang Kasturi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, di Melaka terdapat sebanyak 618 buah kampung telah direkodkan dan bakal menjalani cerapan Kampung Digital.

Daripada jumlah itu, jelasnya, sebanyak 94 peratus atau 582 buah kampung telah mempunyai alamat baru dan kini dalam proses cetakan pelekat serta pengedaran kod QR yang boleh diakses secara mudah melalui Portal Kampung Digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1034
Kongsi :
Previous post MELAKA LUNCUR INISIATIF SEKOLAH RINTIS KAMPUNG DIGITAL
Next post PENIAGA NASI KERABU MAUT DIGILIS TRELER