KAMPUNG DIGITAL LERAIKAN DILEMA PENDUDUK KAMPUNG GUAN
KUALA LINGGI 17 Januari – Pelaksanaan inisiatif Kampung Digital yang menyediakan alamat baharu dilengkapi kod QR disambut baik oleh penduduk Kampung Guan, Kuala Sungai Baru, di sini.
Rata-rata mereka menyifatkan inisiatif itu berjaya meleraikan dilema carian alamat rumah mereka selama ini.
Bagi salah seorang penduduk, Kamsiah Rahim, 63, sebelum ini dia menghadapi kepayahan untuk menerima barangan dan surat menyurat menerusi syarikat perkhidmatan kurier kerana alamatnya amat sukar dicari.
“Alhamdulillah, Kampung Guan terpilih sebagai kampung pertama untuk pelaksanaan kod QR Kampung Digital dan lebih bersejarah rumah saya sendiri menjadi rumah pertama dipilih di kampung ini.
“Saya amat teruja dengan inisiatif ini kerana selama ini saya hadapi dilema kesukaran untuk sahabat handai serta syarikat penghantar barangan mencari alamat rumah.
“Sehinggakan rumah saya hanya berpandukan lori kepala merah yang kebetulan milik jiran saya, jadi itu sahaja lokasi memudahkan mereka ke lokasi rumah saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas rumahnya ditampal pelekat kod QR Kampung Digital, semalam.
Jelajah program tersebut diketuai oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Ketua ICT Negeri Melaka, Fauzi Elham@Alhim serta wakil-wakil agensi dan jabatan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Esah Muhamad, 73, turut menyambut baik inisiatif tersebut kerana memudahkan urusan penduduk kampung dari segi penghantaran surat serta barang-barangan yang dibeli menerusi dalam talian.
“Bagi saya inisiatif kod QR ini memudahkan urusan penduduk kampung kerana kebanyakan kami hadapi kesukaran dari segi pencarian alamat oleh pihak penghantar surat dan barang-barangan.
“Dengan adanya inisiatif kod QR Kampung Digital ini, segala urusan kami dapat dipermudahkan memandangkan alamat kami dapat dijejaki dengan tepat,” jelasnya.
Program menampal pelekat kod QR Kampung Digital di Kampung Guan merupakan antara pengisian di bawah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Insiatif Kampung Digital tersebut akan melibatkan sebanyak 28 kampung di dalam kawasan DUN Kuala Linggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.