Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL JADI PENANDA ARAS PROJEK SISTEM ALAMAT NASIONAL

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 6 Januari – Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) akan dijadikan ‘projek rintis’ bagi Sistem Alamat Nasional (NAS) bertujuan mewujudkan sistem alamat yang seragam dan berwibawa di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata projek yang dilaksanakan itu dianggap sebagai satu pencapaian besar untuk Negeri Melaka dan langkah penting ke arah memastikan setiap kediaman seluruh negara mempunyai alamat lengkap serta seragam.

“Tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana mempelopori inisiatif Kampung Digital ini.

“Ia menjadi penanda aras kepada rangka kerja NAS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Antara Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dengan Kerajaan Negeri Melaka, petang tadi.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan lain-lain kenamaan.

Fahmi berkata inisiatif cetusan idea Ketua Menteri Melaka itu menggunakan teknologi pemetaan geospatial dan kod QR untuk menyelesaikan masalah kekurangan alamat yang tersusun di kawasan luar bandar.

“Pada mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) pada 24 Jun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan NAS secara prinsip.

“Kajian Pelaksanaan NAS yang diterajui SKMM bertujuan mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara dengan projek Melaka dijadikan sebagai rujukan utama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia membelanjakan lebih RM700 juta setahun untuk perkhidmatan geospatial asing yang menyebabkan kebocoran pendapatan negara serta risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post LURUAN MONSUN: HUJAN LEBAT, BERTERUSAN DI TIMUR, SELATAN SEMENANJUNG MULAI KHAMIS
Next post WRUR MEDAN BERJUMPA EMPAT MATA BERSAMA PEMIMPIN
Ubah saiz-+=