Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL: 582 KAMPUNG DI MELAKA ADA ALAMAT BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 28 April – Inisiatif Kampung Digital iaitu teknologi perintis yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kini sudah mencapai 94 peratus pelaksanaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 618 buah kampung yang direkodkan seluruh negeri, sebanyak 582 kampung telah mempunyai alamat baharu.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses mencetak pelekat dan mengedarkan kod QR kepada alamat yang terlibat.

“Untuk memastikan tiada beban tambahan kepada rakyat, Kerajaan Negeri akan memberikan subsidi RM5 bagi pertukaran kad pengenalan kepada penduduk yang telah menerima alamat baharu.

“Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Sekolah Rintis pertama di bawah Kampung Digital, iaitu satu langkah besar untuk memudahkan pemetaan data pelajar bagi mengelakkan keciciran dan memacu kecekapan sistem pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, inisiatif pendigitalan itu tidak hanya terhenti di kampung dan sekolah sahaja, bahkan ia turut meliputi industri penternakan dan pengangkutan beca.

Jelas beliau, berkait itu, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Politeknik Merlimau untuk mengembangkan projek tersebut, yang dijangka akan menjadi model terbaik di Malaysia.

“Paling utama… Kerajaan Negeri Melaka komited sepenuhnya untuk membangunkan infrastruktur digital yang inklusif khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI GIAT LAKSANA INISIATIF PERANGI AEDES
Next post CAPAIAN TELEKOMUNIKASI DUN LENDU SEMAKIN LANCAR