Kamilia impi jadi jurukimpal dalam air
BUKIT KATIL 13 Julai – Meskipun bidang kimpalan dimonopoli lelaki, namun itu tidak menjadi penghalang buat remaja perempuan ini daripada mencabar kebolehan diri dan membuktikan dirinya mampu berjaya suatu hari nanti.
Kamilia Azman, 19, sedar keputusannya memilih bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) peringkat Sijil Teknologi Kimpalan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, di sini, mendapat tentangan ramai, namun ia tidak mematahkan semangatnya meneruskan pengajian.
Dia juga tidak kekok meskipun menjadi remaja perempuan tunggal daripada keseluruhan 63 pelajar mengikuti kursus itu.
Baginya, semua pelajar sama, perlu berani, tidak boleh malu dan mempunyai rasa minat mendalam untuk menguasai sesuatu bidang kemahiran dengan mengenepikan stigma terhadap gender.
“Pada awal semester ramai pelajar baharu yang sama kemasukan dengan saya persoalkan kenapa pilih kimpalan. Banyak lagi kursus lain sesuai dengan perempuan, malah ada yang cadangkan saya tukar kursus, tetapi saya tetap dengan pendirian.
“Malah minggu pertama di sini agak mencabar, saya hampir tewas malah hati terdetik untuk tukar kursus. Tetapi saya abaikan semua itu,” katanya yang kini berada di penghujung semester satu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Canossa Convent, Kampung Portugis itu berkata, minatnya untuk menceburi bidang kimpalan timbul apabila terbaca artikel mengenai kejayaan seorang jurukimpal wanita.
Selain itu keputusan itu dibuat selepas permohonannya melanjutkan pengajian ke universiti tidak berjaya dan menganggap apa dilalui sekarang adalah sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
“Ketika berada di tingkatan empat saya mula membuat kajian tentang bidang kimpalan, ketika itu perasaan ingin tahu mengenai kerjaya ini membuak-buak. Memang tidak popular tetapi upah yang ditawarkan amat lumayan.
“Jujurnya ketika awal kelas dulu agak kekok bergaul dengan rakan sekelas yang semuanya 12 lelaki memandangkan saya dari sekolah perempuan. Mujur saya tidak ambil masa terlalu lama untuk sesuaikan diri. Apa yang istimewanya, apabila menjadi satu-satunya pelajar perempuan semua akan sedar bila saya tiada.
“Rakan sekelas layan saya seperti biasa, tidak meremehkan hasil kerja atau membangkang apa yang saya cuba lakukan, kami berkongsi pandangan, kemahiran, tidak ada layanan kelas kedua kepada perempuan macam saya,” katanya.
Anak kedua dari lima beradik ini berkata, dia mengenali dunia kimpalan termasuk pelbagai jenis perkakasan yang digunakan serta jenis besi selepas mendaftar sebagai pelajar di ILP Bukit Katil.
Namun, dia bertekad menggunakan naluri sebagai seorang wanita untuk menyiapkan hasil kerja yang kemas dan berkualiti.
“Pada awalnya, cara mahu kendalikan peralatan pun saya tidak tahu. ‘Welding’ ini hasilnya sekadar kemas dan cantik pada luaran. Paling utama adalah struktur dalaman, untuk saya perlu banyak berlatih untuk dapat ‘skill’ itu.
“Meskipun menongkah arus terjun ke dunia di monopoli lelaki saya perlu berusaha dan buktikan keupayaan diri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.