Sorting by

×

‘Kami terdedah risiko dilanggar kapal’

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Okt. – Nelayan di perairan Melaka mendakwa terdedah kepada risiko dilanggar kapal, semakin bimbang berikutan kejadian dua kapal berlanggar di perairan Tanjung Kling, di sini kelmarin.

Mereka mendakwa, peningkatan jumlah kapal berlabuh di perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu menyebabkan keselamatan mereka terancam, terutama jika keluar mencari rezeki pada waktu malam.

Shah Jehan Mohamed, 63, mendakwa perairan berkenaan mengalami peningkatan jumlah kapal berlabuh sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan kapal dagang yang menggunakan Selat Melaka sebagai laluan utama.

“Kami amat bimbang setiap kali keluar menangkap ikan, kami menghadapi risiko dilanggar kapal, terutama pada waktu malam dan apa akan jadi jika kapal melanggar kami tanpa ada sesiapa yang boleh membantu kami?

KAPAL yang berlabuh di perairan Melaka meningkat sejak beberapa tahun lalu dan semakin membimbangkan nelayan. – Foto Din Ahmad

“Kami sudah menyaksikan klip video kapal tangki itu dilanggar dan ia amat menakutkan kami kerana alangkan kapal tangki yang besar itu boleh dirempuh, apatah lagi kami yang berperahu kecil?” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Puteri di sini hari ini.

Abdul Zamzuri Abdullah, 50, mendakwa beliau pernah mengalami kerugian apabila jaring hanyutnya yang dilabuhkan di perairan berkenaan dilanggar kapal beberapa tahun lalu.

“Saya terpaksa membuat laporan polis untuk menuntut kerugian daripada syarikat perkapalan itu dan hanya selepas enam, barulah saya diberikan pampasan selepas siasatan dilakukan Jabatan Laut,” katanya.

Beliau mendakwa, selain beliau, ada beberapa nelayan lain di pantai berkenaan menghadapi kerugian akibat kejadian seumpama itu dan mereka memperoleh pampasan hanya selepas tempoh yang lama selepas kejadian.

Zainol Daud, 50, mendakwa nasib nelayan yang turun ke laut diibaratkan umpama telur di hujung tanduk yang sentiasa menghadapi bahaya dilanggar kapal atau jaring mereka koyak rabak dilanggar kapal.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, beliau sudah berkali-kali meminta nelayan yang mengalami kerugian akibat kejadian seumpama itu supaya segera mengemukakan gambar kepadanya sebagai bahan bukti.

“Saya sendiri akan mengambil tindakan memanggil agen kapal atau pengendali kapal itu untuk disiasat dan jika benar nelayan mengalami kerugian, saya minta mereka segera membuat pembayaran,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan, kapal yang berlabuh di perairan negeri ini tidak mampu dihalang kerana setiap kapal yang berbuat demikian ada keperluan masing-masing dan ia memberikan pulangan kepada kerajaan negeri.

Jabatan Laut Malaysia dilaporkan berkata, dalam kejadian 11.38 pagi kelmarin, kapal pengangkut pasir, MV Ocean Line 5001 melanggar kapal tangki, MT Strovocos pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Kling.

Views:

685
Kongsi :
Previous post Sultan Ibrahim berkenan kurnia pingat kepada petugas barisan hadapan COVID-19
Next post Majlis Fatwa mesyuarat esok kemas kini SOP masjid, surau
Ubah saiz-+=