Sorting by

×

‘KAMI SEKELUARGA LEGA DAN RASA SELAMAT’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 27 Oktober – Pesara tentera yang mendiami rumah usang menanti rebah bersama tujuh ahli keluarganya meluahkan rasa terharu dan bersyukur di atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

Ia selepas Kerajaan Negeri yang diwakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bukan sahaja menziarahi keluarga berkenaan, bahkan turut memberi jaminan akan mempercepatkan kerja baik pulih rumah itu.

Mazelan Harun, 67, berkata, dengan bantuan tersebut dia dan keluarga tidak lagi diselubungi ketakutan kerana sebelum ini sering mengenangkan bumbung rumah yang rosak akibat ribut, selain sudah dimamah anai-anai akan rebah pada bila-bila masa.

“Saya berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong yang telah mengambil tindakan untuk mendapatkan peruntukan baik pulih rumah ini dan disusuli kedatangan Datuk Rais memberi jaminan bahawa rumah ini akan dibaiki dengan segera.

“Memang kami lega sangat dan boleh mendiami rumah ini dengan selamat selepas bumbung rumah ini dibaik pulih. Sebelum ini kami sering hidup dalam ketakutan kerana bimbang bumbung boleh jatuh pada bila-bila masa.

“Jadi, saya ucap terima kasih kepada kerajaan yang ada pada hari ini, khususnya pemimpin-pemimpin prihatin yang ada di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan bagi melihat kerosakan yang berlaku di rumah pusaka tersebut.

Menurut Rais, rumah itu akan dibaik pulih dalam masa terdekat selepas Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan berjumlah RM20,000 bagi membaiki kerosakan yang berlaku.

Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi selepas selesai proses penilaian kerosakan dan lantikan kontraktor dan buat sementara waktu keluarga berkenaan akan menetap di kediaman sementara di Tangga Batu hasil bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

821
Kongsi :
Previous post 10 WANITA WARGA INDONESIA DITAHAN DALAM OP NODA
Next post LAWATAN KERJA DELEGASI CHINA KE MELAKA
Ubah saiz-+=