‘Kami bukan orang jahat’
“JANGAN anggap kita seperti orang jahat. Walaupun berdepan situasi sukar kita tetap cuba selesaikan masalah tunggakan gaji”.
Itu nada kesal diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berhubung dakwaan pihak tertentu yang menyifatkannya berbohong ketika membuat pengumuman sudah melangsaikan hutang berjumlah hampir RM1 juta sebelum ini.
Ia susulan kenyataan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi akaun Twitter yang mendakwa pemain yang diwakili mereka masih belum menerima bayaran seperti yang diumumkan MUFC.
Mohd Saiful berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan secara melulu dan boleh menjejaskan imej pasukan memandangkan pihaknya mempunyai bukti segala pembayaran sudah dibuat.
“Kita tak akan keluarkan kenyataan sekiranya kita belum buat pembayaran. Kita ada bukti segala pembayaran sudah dibuat dan mungkin berlaku kelewatan di pihak bank menyebabkan ia sedikit lewat.
“Sepatutnya, mereka (PFAM) menghubungi saya atau wakil pasukan terlebih dahulu untuk mengetahui perkembangan pembayaran itu. Kita tahu mereka menjaga kebajikan pemain, tetapi mereka juga perlu adil kepada kita.
“Kita memang sangat kecewa. Walaupun berdepan situasi sukar membabitkan aspek kewangan tetapi kita berjaya juga menyelesaikannya dan kita bukan penipu,” katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani pemain import di Pejabat Ketua Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd Saiful berkata, pihaknya sehingga kini masih belum dihubungi PFAM bagi permohonan maaf.
“Nama kita sudah tercalar dan itu memang menjatuhkan reputasi pasukan dan negeri. Jadi, kita masih menunggu panggilan mereka,” ujarnya.