‘Kambing saiz kucing’ bakal jadi tarikan Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 15 April – Zoo Melaka kini dalam peringkat penambahbaikan perkhidmatan termasuk memperkaya tarikan baharu untuk mejadikan lokasi itu sebagai destinasi wajib ke Melaka.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, sasaran kos bagi membaik pulih itu keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM1 sehingga RM2 juta.

Katanya, usaha itu termasuk menambah haiwan baharu seperti seekor zirafah dari Afrika dan kambing bersaiz kucing untuk tatapan pengunjung tidak lama lagi.

“Pihak kita menjangkakan pengunjung akan membanjiri zoo pada Aidilfitri ini kerana itu kita berusaha membaik pulih dan memperbaiki kandang-kandang haiwan yang telah rosak.

“Kita juga akan membawa masuk haiwan-haiwan baharu misalnya 19 April ini, seekor zirafah yang kita beli dari Afrika akan sampai ke kandang pada malam raya.

“Seterusnya, Zoo Melaka akan ada kambing sebesar anak kucing menerusi proses pertukaran bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

IMG-20230415-WA0009
SAPIAH pada sidang media selepas program Masih Ada Yang Sayang MPHTJ dan SUBWAY MITC di sebuah pasar raya di Ayer Keroh. Foto: Aufa ‘Izzati

Beliau berkata demikian pada sidang media program Masih Ada Yang Sayang MPHTJ dan SUBWAY MITC di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, MPHTJ akan menaik taraf sistem pencahayaan di kawasan-kawasan tumpuan khususnya di pintu-pintu masuk bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Kita sasarkan 2023 adalah tahun beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan kita lebih kepada memperbaiki infrastruktur yang rosak dan mengindahkan lagi lanskap kawasan Hang Tuah Jaya sempena TMM 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2531
Kongsi :
Previous post Fazil Group tubuh Yayasan Nur Kasih, perhebat program kebajikan
Next post Rezeki Ramadan ‘orang laut’
Ubah saiz-+=