KALSOM TERIMA ANUGERAH TEMENGGONG TUN HASSAN DMDI
AYER KEROH 29 Oktober – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin menerima Anugerah Temenggong Tun Hassan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden DMDI merangkap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sambil disaksikan bekas Presiden Singapura, Halimah Yacob dalam Program Konvensyen DMDI Ke-22 di Singapura, semalam.
Kalsom, menyatakan perasaan syukur kerana menerima anugerah berprestij tersebut, sekali gus menyuntik semangat beliau untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.
“Saya ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada DMDI, namun secara peribadi saya terkejut kerana lebih ramai calon yang saya rasakan lebih layak memandangkan DMDI mempunyai jaringan yang luas seluruh dunia.
“Penglibatan saya di dalam DMDI adalah begitu lama, sejak awal penubuhannya, saya sudah aktif dengan kerja-kerja kebajikan di bawah DMDI.
“Anugerah ini bagi saya amat besar nilainya kerana nama Temenggong Tun Hassan itu sendiri adalah pembesar terhormat pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, jadi saya akan terus berkhidmat dan menabur bakti kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.