Sorting by

×

‘Kali ini arwah bawa banyak bekalan ubat berbanding biasa’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LINGGI 8 April – “Selalunya arwah tidak bawa bekalan ubat dalam jumlah banyak ke pondoknya.

“Tetapi kali ini arwah bawa ubat banyak sangat,” kata Fatimah Lambak, 67, isteri kepada Allahyarham Mustafa Puteh, 64, nelayan yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika keluar menangkap ikan di laut.

Ketika ditemui Fatimah berkata, mereka tinggal di Selandar, Jasin, namun Mustafa kerap menghabiskan masa di pondok nelayan di Kuala Sungai Baru, yang dijadikan tempat tinggal sementara, setiap kali keluar menangkap ikan.

“Selepas sahur kelmarin, arwah membawa bekalan ubat lebih banyak berbanding biasa. Arwah kata kali ini dia akan berada lama di pondok untuk mencari rezeki.

“Hanya selepas pemergiannnya buat selama-lamanya, barulah saya perasan rupa-rupanya arwah hendak meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di pondok itu hari ini.

Pondok berkenaan adalah satu daripada kira-kira 10 pondok dibina nelayan untuk dijadikan tempat tinggal sementara, selain mengikat perahu gentian kaca dan menyimpan peralatan menangkap ikan masing-masing.

Fatimah berkata, arwah kerap turun ke laut berseorangan dan dia terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan suaminya jam 4.30 petang yang memaklumkan Mustafa meninggal dunia ketika menjaring udang di perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Tanjung Bidara.

“Saya dimaklumkan ketika ditemukan arwah sudah meninggal dunia, perahunya hanyut hingga ke perairan berhampiran Pelabuhan PETRONAS di Pantai Puteri, Tanjung Kling,” katanya.

Nelayan menemui Mustafa kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang kemudian menunda perahu arwah ke Jeti Kampung Hailam, Tanjung Kling sebelum mayat arwah dibawa polis ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

FATIMAH menunjukkan ubat sakit jantung yang dibawa
Allahyarham Mustafa di pondok arwah di Kuala Sungai Baru,
Masjid Tanah.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di kampung asalnya di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru pada jam 1.30 petang semalam.

Katanya, arwah juga tidak gemar menambah makanan setiap kali berbuka puasa atau bersahur, termasuk apabila dihidangkan asam pedas yang digemarinya.

“Saya reda dengan pemergian arwah pada hari baik, bulan baik pada Ramadan yang mulia ketika umat Islam menjalani ibadah rukun Islam yang ketiga,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, arwah dipercayai meninggal dunia ketika menangkap ikan bersendirian sebelum ditemukan nelayan lain.

Katanya, anak lelaki arwah mengesahkan arwah pernah menjalani rawatan penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) beberapa tahun lalu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

839
Kongsi :
Previous post SKM komited perkasakan perniagaan dalam talian
Next post Juruteknik rugi RM222,473 terpedaya ‘love scam’
Ubah saiz-+=