Sorting by

×

KALENDAR KHAS PAPAR TARIKH PENTING

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 20 Februari – Kerajaan bercadang mengeluarkan kalendar khusus bagi memaparkan tarikh istimewa yang berlaku dalam negara pada tahun 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, inisiatif itu secara tidak langsung mendidik rakyat Malaysia agar lebih peka dan mengingati momen penting di negara ini.

“Tarih-tarikh bersejarah ini dimasukkan dalam kalender istimewa yang akan dikeluarkan oleh jabatan kerajaan, kementerian, korporat dan syarikat perniagaan.

“Justeru, bagi pengumpulan maklumat berkaitan tarikh ini satu kerjasama proaktif antara Arkib Negara Malaysia, muzium dan Kerajaan Negeri akan dilaksanakan.

“Tarikh itu sudah ada cuma kita perlu senaraikan dan kawal selia, daripada situ kita akan nampak seperti bulan Februari ada apa, Oktober ada apa dan lain-lain selain tarikh penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian penutup Majlis Bicara MADANI Merdeka sempena Program Jejak 20 Februari 1956 : Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Jaafar Sidek Abdul Rahman dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut beliau berkata jika tarikh penting berkenaan bertindih atau terlalu banyak, ia perlu disusun mengikut kepentingan pada tahun tersebut.

“Kepelbagaian peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam negara kita ini akan membuatkan kepentingan negara ini lebih dihargai,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata penganjuran program Jejak 20 Februari 1956 oleh Arkib Negara Malaysia merupakan inisiatif memperkasa pengesanan, pengumpulan, pemeliharaan dan memasyarakatkan maklumat dan bahan sejarah serta warisan negara.

“Meskipun program seperti ini telah dilaksanakan pada tahun sebelumnya, namun ia perlu diteruskan pada setiap tahun.

“Ini kerana menjadi tanggungjawab kita semua mengingatkan masyarakat bahawa nikmati hidup dalam keadaan aman dan selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI KONGSI REZEKI SEMPENA KEMASUKAN PERCUMA
Next post 24 ‘ADIWIRA’ PARAKOM BERTUGAS DI LOKASI PELANCONGAN SEMPENA CUTI 20 FEBRUARI