“Kalau tuntut hak kena gantung 18 bulan, baik saya pukul orang”

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 17 Dis. – Pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kekal dengan pendirian untuk mencabar hukuman yang dikenakan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ke atas dirinya.

Sebelum ini, Megat D Shahriman dikenakan hukuman penggantungan selama 18 bulan daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta ekoran didapati melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL) seperti yang diputuskan Jawatankuasa Disiplin KHM, November lalu.

Difahamkan, hukuman itu dikenakan ekoran tindakan beliau menuntut hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 selaku juara LHM Wanita 2020 serta tambahan RM15,000 apabila turut muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Mengulas hukuman tersebut, Megat D Shariman yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur menzahirkan rasa kecewa dan sedih ekoran tindakan badan induk sukan hoki negara itu yang disifatkan agak kejam dalam menjatuhkan hukuman berat sedangkan dirinya hanya mahu menuntut hak pasukan.

“Saya bukan tuhan, tapi salah ke kalau kita minta hadiah yang kita menang? Sampai ada beritahu saya baik saya pukul orang dengan kayu hoki, sebab pukul orang hukuman baru digantung enam bulan sahaja. Kalau bergaduh di atas padang pun baru digantung tiga bulan.

“Ini bila minta hadiah kena gantung 18 bulan. Kalau macam itu, mungkin budak-budak sekolah pun takut nak minta hadiah pingat kemenangan sebab risau digantung sekolah.

“Adakah kita berada di negara Zimbabwe? Sedihlah sebab ini (yang menjatuhkan hukuman) adalah organisasi kebangsaan. Ini bukan organisasi mak bapa mereka. Maaf cakap, tapi saya memang sedih,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Atlet Paralimpik Melaka di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat D Shariman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata, pihaknya kini dalam fasa menunggu tarikh pendengaran yang dijadual pada Januari 2021 untuk mencabar hukuman tersebut.

“Sepatutnya sesi pendengaran pada hujung bulan ini, tapi saya mohon dipinda pada Januari memandangkan saya berada di luar kawasan pada tarikh tersebut.

“Saya tak rugi apa-apa. Apa yang saya lakukan adalah untuk mendapatkan duit untuk atlet. Bukan untuk saya. Saya sudah belanja RM724,000 duit saya sendiri untuk pasukan dan pembangunan akar umbi. Saya tak minta duit bank atau duit daripada universiti untuk itu semua.

“Jadi, saya serahkan semuanya kepada peguam. Selebihnya kita saksikan nanti,” ujarnya.

Views:

1208
Kongsi :
Previous post Jenazah tiga beradik selamat dikebumikan
Next post COVID-19: Jumlah kes mendadak hanya melibatkan banduan
Ubah saiz-+=