Kalau tak tawar-menawar, itu bukan Kampung Jawa
BANDARAYA MELAKA 24 Januari – Budaya tawar menawar harga semasa membeli-belah di Kampung Jawa bukan lagi perkara asing, malah menjadi tradisi peniaga di kawasan itu.
Peniaga, Salamah Mohamed,64, berkata tradisi itu bukan sahaja dikenali pelanggan di Melaka, malah ada dari luar negeri sanggup datang ke Kampung Jawa hanya untuk membeli pakaian lebih murah.
Katanya, dia yang mula berniaga sejak tahun 1992 bersyukur perayaan Tahun Baharu Cina kali ini mendapat sambutan luar biasa sehingga tidak menang tangan untuk melayan pelanggan.
“Kita (peniaga) masih meneruskan jualan penghabisan stok dan tradisi tawar menawar masih ada, kalau tak tawar tu bukan lah Kampung Jawa.
“Ada pelanggan dari luar seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan banyak lagi datang beli pakaian di sini seawal jam 9 pagi hingga 6 petang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.
Manakala Sulaiman Omar, 61, yang berniaga lebih 46 tahun di Kampung Jawa turut bersyukur perniagaannya pada TBC kali ini mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Alhamdulillah Allah kesiankan kami, ramai pelanggan datang sini dari luar Melaka seperti Johor Bahru, Seremban, Kedah dan Penang.
“Sambil bercuti di Melaka, pelancong singgah membeli-belah baju raya dan sekolah, istimewanya pakaian dijual di sini dijahit sendiri bukannya dibekal dari kilang.
“Selain tradisi tawar menawar, harga dijual juga sangat murah, dari jam 9.30 pagi hingga 6.45 petang pelanggan tidak henti datang ke kedai kami,” katanya.
Katanya pernah juga menerima pelanggan dari Negara China, Indonesia, Jepun dan Australia sebelum ini.
“Kalau boleh kekalkanlah kami (peniaga) di Kampung Jawa ini, kawasan ini juga tarikan pelancong dari negara luar,” katanya.
Sementara itu, pelanggan Siti Suriani Suroso, 45, memilih untuk berbelanja pakai sekolah anaknya di Kampung Jawa kerana harga yang murah.
“Saya datang sini beli keperluan sekolah anak-anak, sebelum datang sini saya singgah kedai lain harga lebih mahal.
“Bila datang sini tak sangka jauh lebih murah, sudah tentu selepas ini saya akan datang lagi di Kampung Jawa untuk beli baju sekolah anak-anak.
“Kalau sesiapa nak beli baju sekolah murah boleh datang sini, harga pun masih boleh tawar menawar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.