Sorting by

×

Kalau sudah rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LINGGI 25 April – Kalau sudah dinamakan rezeki, siapa sangka motosikal yang hilang dua tahun lalu, ibarat ‘diganti’ baharu.

Itulah kisah kedukaan Mohd Ali Hanafiah Jamaat, 60, yang kehilangan motosikal Yamaha LC135 sebelum ini terubat apabila ia digantikan dengan motosikal Honda RS150.

Rezeki anugerah Allah datang bergolek kepadanya apabila dianugerahkan motosikal berkenaan hasil cabutan bertuah dimenanginya pada perlawanan bola sepak antara Melaka United FC (MUFC) menentang Selangor FC di Stadium Hang Jebat pada 18 April lalu.

Hadiah berkenaan ditaja pemilik MUFC, KenTeam Sdn Bhd melalui kempen Jom Tengok Bola dan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas perlawanan itu.

MOHD Ali Hanafiah Jamaat
– Foto DIN AHMAD

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, selepas selesai sahaja urusan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan perlindungan insurans, beliau membawa pulang kenderaan itu ke kediamannya di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

“Dua tahun lalu saya menjadi penyelia syarikat keselamatan di Kuala Lumpur dan tinggal di Wangsa Maju dan motosikal LC itu saya baharu beli untuk memudahkan berulang alik ke tempat kerja.

“Pada jam 2 pagi, dua pengawal keselamatan yang bekerja di syarikat itu mahu meminjam motosikal untuk keluar makan dan saya mengizinkannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pengawal keselamatan terbabit ‘meminjam terus’ motosikal itu dan menyebabkan Mohd Ali mengalami kerugian, katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah kerana dimurahkan rezeki apabila dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah.

“Pada petang 18 April lalu saya mengikut anak saya, Mohd Azudin yang berusia 32 tahun ke stadium untuk menonton perlawanan bola dengan menggunakan tiket yang dibelinya secara dalam talian,” katanya.

Sebelum keluar rumah, isterinya, Normah Ahmad, 60, sempat berseloroh meminta beliau membawa topi keledar kerana mungkin akan memenangi cabutan bertuah, katanya.

“Alhamdulillah, gurauan isteri menjadi kenyataan dan saya bagaikan tidak percaya apabila nombor tiket saya diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

801
Kongsi :
Previous post Perhilitan Johor rampas 1,070 burung murai
Next post Pengeluar, pembekal boleh dikenakan tindakan jika tak patuh SHMMP
Ubah saiz-+=