Kalau sudah minat, usia bukan penghalang
PANTAI KUNDOR 7 April. – Pada usia 71 tahun, pesara kerajaan Bokhari Samaon belum mahu ‘menggantung’ pendayung kayak yang sudah menjadi temannya sejak usia belasan tahun.
Setiap kali mengunjungi pusat peranginan yang menyediakan kayak untuk tetamu, warga emas itu tidak akan melepaskan peluang untuk berkayak.
Bekas Pengurus Felda Plantation itu ternyata masih cekap mengendalikan kayak, terutama ketika membelok ke kanan atau kiri atau berundur.
“Semasa muda, saya boleh mendayung dengan laju dan kayak meluncur bagaikan menggunakan enjin motor sangkut tetapi sekarang tenaga semakin kurang, cukuplah sekadar mendayung perlahan.
“Walaupun tenaga semakin pudar, kaedah mengendalikan haluan kayak sama ada ke kiri atau kanan dan seumpamanya, masih ‘melekat’ pada tangan ini,” katanya ketika ditemui berkayak di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.
Bokhari bersama-sama isteri dan lima pasangan suami isteri yang seusia mereka menginap di sebuah pusat peranginan di pantai berkenaan selama satu malam.
Mereka mengambil kesempatan itu untuk berkelah di pantai dan menyediakan makan tengah hari, selain menikmati kesegaran udara nyaman.
Bokhari berkata, berkayak bukan setakat memerlukan tangan yang kuat, malah pinggang yang mampu bertahan untuk mengumpulkan kekuatan tenaga bagi memastikan kayak mampu meluncur di muka ombak.
Katanya, kaedah menahan pergerakan kayak dengan menggunakan dayung amat penting bagi mengelakkan kayak tersasar daripada haluan yang ingin dituju.
“Kami sengaja memilih hari bekerja untuk menginap di pusat peranginan di sini dan berkelah di pantai kerana jika kami memilih hujung minggu, sudah pastilah pantai ini dipenuhi orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, langkah pihak pengurusan pusat peranginan itu menyediakan kayak dan jurulatihnya, harus dipuji kerana ia menggalakkan lebih ramai remaja menceburi sukan berkenaan.
Sementara itu, jurulatih Mohd Rashid Mohamad, 26, berkata Kelab Kayak Pancing yang diwakilinya bekerjasama dengan pusat peranginan Qashrina Resort untuk menyediakan sembilan kayak.
“Kadar sewaan kayak RM15 sejam dan RM120 sehari bagi mereka sama ada baru belajar atau yang sudah mahir mendayung kayak.
“Saya memberi bimbingan kaedah mendayung kayak dan saya yakin orang ramai mampu melakukannya dalam tempoh singkat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.