‘Kalau kena ambil (vaksin), saya ambillah, tiada masalah demi rakyat’ -Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 16 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menyatakan kesediaan menjadi antara penerima vaksin COVID-19 bagi fasa pertama.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, beliau tiada masalah untuk diberikan suntikan berkenaan memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya memberi kesedaran pentingnya vaksin kepada rakyat.

Katanya, atas faktor tugas yang sentiasa berdepan dengan ramai pihak, dirinya juga perlu mendapat perlindungan berkenaan dalam usaha untuk memerangi pandemik COVID-19.

“Kalau kena ambil (vaksin), saya ambillah. Tiada masalah kerana semuanya demi rakyat. Saya difahamkan Ahli Parlimen dan ADUN menjadi antara yang terawal, jadi saya tidak akan menolak.

“Kalau tanya takut, sejujurnya adalah sedikit perasaan takut sebab kami bukan tikus makmal. Tapi memandangkan vaksin ini sangat penting untuk memerangi COVID-19, saya akan bersedia,” katanya ketika ditemui di JAPERUN Pengkalan Batu, hari ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan memaklumkan Ahli Parlimen dan ADUN akan menjadi antara penerima vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

Dalam pada itu, Norhizam menyarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penerangan Malaysia memberi penerangan lebih khusus kepada rakyat mengenai pentingnya vaksin COVID-19.

“Penerangan lanjut mengenai vaksin dan kesan sampingannya perlulah disampaikan kepada rakyat. Segala informasi itu sangat penting bagi mengelakkan sebarang salah faham mengenai kepentingan vaksin tersebut,” ujarnya.

Views:

241
Kongsi :
Previous post Pengusaha kolam ternakan keli dikompaun RM12,000 sebabkan pencemaran
Next post Smart A+ inisiatif tingkat prestasi calon SPM
Ubah saiz-+=