Kalah hatrik di Jebat

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 30 April – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) terus gagal mengutip mata di laman sendiri apabila tewas 1-3 di tangan Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) dalam aksi ke-11 Liga Super, malam ini.

Keputusan itu sekali gus menjadi kekalahan ketiga berturut-turut diraih skuad Hang Tuah di hadapan penyokong sendiri sejak stadium mula dibuka secara bersyarat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan Bersyarat 2.0 awal bulan ini.

Aksi di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan, tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu bermula garang dengan memperoleh percubaan seawal minit ke-6 apabila S Kumaahran berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan KDA FC.

Malangnya lorongan bola mencari Manuel Gelito Ott gagal disudahkan dengan baik apabila bola rembatan pemain kacukan Filipina-Jerman itu sekadar melewati palang.

Berselang tiga minit selepas itu giliran pelawat pula memperoleh peluang menerusi Tchetche Kipre, namun bola rembatan pemain import dari Ivory Coast itu sedikit tersasar.

Pada minit ke-16, MUFC mula tersentak apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada KDA FC selepas bola rembatan Kpah Sherman terkena tangan Jang Sukwon.

Sherman yang dipertanggungjawab mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah menewaskan Norazlan Razali sekali gus meletakkan pelawat di depan pada minit ke-18.

Kesilapan yang dilakukan penjaga gol Kedah Mohd Sharil Sa’ari pada minit ke-22 hampir sahaja memberikan gol penyamaan buat Melaka United, namun bola yang berjaya dicuri Stefan Nikolic berjaya dikuis keluar pemain pertahanan.

MUFC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi Nikolic yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Ott dikasari Renan Alves.

Corak menyerang mula ditunjukkan kedua-dua pasukan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 45 minit pertama perlawanan.

Aksi babak masa kedua menyaksikan MUFC bermula dengan penuh keyakinan apabila melakukan serangan demi serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Dua peluang keemasan menerusi Nikolic dan Sukwon masing-masing diperoleh pada minit ke-49 dan 51. Sayangnya, rembatan dalam kotak penalti Nikolic sedikit tersasar ke kanan pintu gol manakala tandukan Sukwon pula sekadar singgah di tiang.

Sebaliknya, pelawat yang dilihat lebih banyak menyerap asakan tiba-tiba sahaja melakukan serangan balas pada minit ke-62 dan berjaya menambah jaringan kedua sekali lagi menerusi Sherman yang menerima lorongan bola daripada Kipre.

Biarpun cuba bangkit pada minit-minit akhir, MUFC sekali lagi dihukum pada minit ke-85 apabila situasi kucar-kacir di hadapan gawang membolehkan kapten KDA FC Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol ketiga.

Gol itu nyata melemahkan semangat juang tuan rumah dan keputusan 1-3 kekal sehingga pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah meniupkan wisel penamat.

Kekalahan ketiga itu kini kembali meletakkan MUFC di kedudukan tidak selamat dengan mengutip 10 mata daripada 11 perlawanan.

Malah, kedudukan ketua jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan juga berkemungkinan bakal terlerai hasil keputusan yang tidak memihak pasukan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post Mayat wanita ditemui terkunci dalam MPV
Next post Melaka rekod lagi satu kluster baharu
Ubah saiz-+=