Kakitangan Hospital Melaka maut gara-gara SUV keluar simpang

Masa Membaca:58 Saat

SERKAM 28 Jun – Kakitangan Hospital Melaka maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan Jalan Gereja, Kg Paya Tanjung, Jalan Melaka-Muar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa, Mohd Azlan Ramli, 39, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Katanya, ketika melalui lokasi, mangsa yang sedang bergerak lurus telah merempuh SUV dipandu lelaki berusia 45 tahun yang keluar simpang secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku apabila SUV berkenaan keluar simpang dan belok ke kanan menuju ke Tampin, namun mangsa yang sedang bergerak lurus dari arah Melaka menghala ke Serkam tidak sempat mengelak.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Ahmad Jamil, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala pemandu SUV tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3310
Kongsi :
Previous post Teh tarik gula Melaka ‘signature’ terbaharu pelancongan
Next post ‘Sanggup datang Melaka tengok Pameran Hang Tuah’
Ubah saiz-+=