Sorting by

×

‘Kaki tipu’ kena cekup

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Disember – Kegiatan penipuan pembelian tambah nilai Touch ‘n Go di beberapa stesen minyak di daerah Melaka Tengah berakhir selepas pelakunya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek iaitu lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada Khamis.

Beliau berkata, tangkapan keatas suspek itu dibuat pihaknya selepas menerima laporan berhubung kegiatan lelaki itu di Balai Polis Bukit Baru, yang membabitkan kerugian kira-kira RM200.

“Suspek didakwa melakukan jenayah penipuan dengan membuat pembelian tambah nilai di kaunter pam minyak dan selepas mengambil gambar tiket dia kemudian membuat helah tertinggal wang di kereta.

“Selepas berjaya melarikan diri suspek dikatakan akan membuat tambah nilai menggunakan aplikasi Touch ‘n Go E-Wallet ke dalam akaun bank miliknya bagi mendapatkan wang tunai,” katanya.

Menurutnya, suspek juga mendakwa hasil daripada wang tunai yang diperolehnya itu, dia menggunakan untuk tujuan membeli makanan dan juga dadah.

“Malah dia turut mendakwa melakukan jenayah itu selepas mengambil dadah dan berada dalam keadaan separuh sedar.

“Siasatan dilakukan mendapati dia menyasarkan beberapa pam minyak di sekitar daerah Melaka Tengah dan Muar, Johor,” katanya.

Christopher berkata, selain tangkapan keatas suspek, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam melakukan jenayah terbabit antaranya telefon bimbit dan kad debit.

“Semakan lanjut dilakukan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau selain pernah beberapa kali ditangkap.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam. Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4764
Kongsi :
Previous post Lahirkan pewaris legasi batik Malaysia
Next post Uniknya batik Melaka
Ubah saiz-+=