Kaki pecah rumah dicekup polis
AYER KEROH 4 April – Dua lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah pecah rumah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 33 tahun itu ditahan di Puchong serta Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Beliau berkata, tangkapan ke atas kedua suspek itu dibuat susulan laporan polis diterima pihaknya berhubung kejadian pecah rumah di Taman Gadong Perdana, membabitkan kerugian wang tunai serta barangan kemas.
“Susulan itu polis kemudian membuat tangkapan keatas suspek pertama pada Sabtu (1 April) sebelum tangkapan kedua dibuat semalam.
“Kedua-dua suspek ini dipercayai terbabit dengan sindiket jenayah pecah rumah jenis teres satu tingkat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, selain tangkapan pihak polis juga turut merampas Perodua Myvi yang digunakan dalam aktiviti jenayah, alatan pecah rumah termasuk resit jual beli barangan kemas yang kesemua dianggarkan bernilai RM15,000.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah Melaka Tengah selain terdapat satu kes membabitkan jenayah sama di Johor.
“Malah semakan dilakukan juga mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 33Â rekod jenayah lampau termasuk dadah,” katanya.
Christopher berkata, kesemua suspek kini direman sehingga Khamis (6 April) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.