Kaki pancing wanita cuba nasib

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

DURIAN TUNGGAL 25 Nov. – Ribuan ikan betuk dan keli yang didakwa terlepas dari kolam penternakan dan masuk ke sungai di Pekan Durian Tunggal, di sini akibat banjir, menarik kehadiran puluhan kaki pancing wanita.

Mereka tidak mahu melepaskan peluang memperoleh ‘rezeki’ yang dikatakan terlepas dari beberapa kolam penternakan berhampiran pekan berkenaan akibat banjir.

Tebing sungai itu ‘didominasi’ gadis berusia belasan tahun dan wanita warga emas untuk mencuba nasib mendapatkan betuk dan keli desas-desus ribuan ikan terlepas ke sungai akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Norasila Dewa, 51, berkata dia mula memancing pada jam 8 pagi tadi dengan menggunakan umpan cengkerik yang dibelinya kelmarin semata-mata untuk menikmati keseronokan menyentap joran yang disambar ikan.

“Ada rakan beritahu saya, mereka mendapat banyak betuk dan keli hasil daripada memancing di sungai ini dan hari ini saya mengambil peluang untuk mencuba nasib.

“Ada khabar angin mengatakan ribuan betuk dan keli terlepas dari kolam penternakan yang saya pun tidak tahu di mana, masuk ke dalam sungai ini ketika banjir Sabtu lalu,” katanya semalam.

Nur Shahira Salman al-Farisi, 24, pula meluahkan rasa teruja joran disambar disambar betuk dan keli dengan kerap dan ia amat jarang berlaku sebelum ini.

“Sebelum ini amat jarang sekali saya ‘menyentap’ joran kerana tidak banyak ikan di sungai ini tetapi hari ini, keadaannya berbeza,” katanya.

Katanya, walaupun tidak pasti mengenai kesahihan desas-desus berkenaan, dia juga enggan ketinggalan mencuba nasib untuk mendapatkan betuk dan keli yang enak dimasak lemak cili padi.

Katanya, berdasarkan warna ikan betuk dan keli yang berjaya disentap naik, ia dipercayai sememangnya ikan yang terlepas dari kolam penternakan kerana warnanya yang lebih cerah berbanding betuk dan keli sungai yang lebih gelap.

Maisarah Abdul Ghafar, 47, berkata dia menggunakan umpan cacing yang digali anaknya untuk mencuba mendapatkan betuk dan keli yang amat digemari anggota keluarganya jika dimasak asam pedas.

“Keluarga saya tidak berapa gemar masak lemak cili padi, sebaliknya kami gemar asam pedas, apatah lagi jika betuk dan keli yang dimakan semasa kuah dan nasi masih panas,” katanya.

Jamilah Mohd Ali, 53, berkata, dia turut mencuba nasib memancing di sungai berkenaan, walaupun jarang memancing.

Katanya, selepas memancing kira-kira sejam beliau sudah memperoleh hampir sekilogram betuk atau lebih dikenali sebagai puyu yang baginya amat lazat jika, dimasak lemak dengan belimbing.

Views:

875
Kongsi :
Previous post Perkembangan semasa banjir Daerah Alor Gajah setakat jam 8 pagi
Next post Amerika Syarikat ucap tahniah kepada Malaysia
Ubah saiz-+=