Kaki palsu cetakan 3D beri keselesaan kepada Siti Noradilah
DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Kaki palsu cetakan 3D yang dilengkapi ciri pengudaraan memberikan keselesaan dan pengalaman baharu kepada Siti Noradilah Tahir, 48.
Siti Noradilah kehilangan kaki kanan selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 1991, terpaksa bergantung kepada kaki palsu untuk memudahkan dia melakukan aktiviti harian.
Pengalaman kulit kerap melecet akibat memakai anggota badan palsu itu menyebabkkan Siti Noradilah berasa tidak selesa, namun dia tidak mempunyai alternatif lain yang boleh membantu memudahkan pergerakannya.
“Alhamdulillah hasil inovasi penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) saya dapat merasai pengalaman baharu. Kaki palsu baharu ini amat selesa, ada sistem pengudaraan dan ringan,” katanya yang ditemui pada Majlis Pelancaran Duta TVET UTeM di Dewan Canselor UTeM yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Yusof Apdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.
Sementara itu, Fawzan Hanafi Mohd Fadzhli penuntut yang mencipta anggota badan palsu itu berkata, produk dinamakan Kaki Prostetik Ultra Ringan Cetakan 3D dihasilkannya mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan.
Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal ini berkata, teknik imbasan digunakan bagi mendapatkan saiz sebenar kaki, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada penerima
“Kami guna pembimbas 3D untuk hasilkan acuan, selepas sampel siap kami jalankan ujian kekuatan mengangkat beban menggunakan perisian simulasi. Pada peringkat akhir produk akan dibina menggunakan mesin cetakan 3D Selective Laser Sintering (SLS) dan disiapkan dalam masa sehari sahaja.
“Selain cirinya yang ringan, mempunyai ruang udara dan reka bentuk yang menarik, masa penghasilan lebih singkat dan koskaki palsu ini lebih jimat berbanding kaedah tradisional,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.