KAKI KAROM ‘BERKAMPUNG’ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TELOK MAS 10 November – Hampir 1,000 ‘kaki karom’ dari seluruh negara berkampung di Melaka, sejak semalam bagi memburu kejuaraan bersempena Kejohanan Karom Terbuka Malaysia – Piala YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Pengerusi program Daud Khairudin berkata, pihaknya tidak menyangka akan menerima penyertaan yang amat menggalakkan dengan 95 peratus peserta adalah peminat karom dari luar Melaka.

Katanya, pertandingan anjuran Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah julung kali diadakan di negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Sasaran awal kami hanya 300 orang tetapi untuk kategori perseorangan yang berlangsung semalam kami terima 347 penyertaan.

“Sementara itu untuk hari ini bagi kategori berpasukan kami menerima 270 penyertaan, sekali gus mencipta rekod sebagai pertandingan yang menerima peserta paling ramai berbanding penganjuran di negeri lain sebelum ini.

“Mewakili penganjur kami amat bangga dengan pencapaian ini, objektif menarik pengunjung dan pelancong ke Melaka sempena TMM2024 tercapai, kami menerima hampir 1,000 penyertaan bagi tempoh dua hari ini,” katanya.

Img 20241110 200617 745
DAUD (dua dari kanan) mengiringi Mohd Noor Helmy (kanan) menyaksikan Kejohanan Karom Terbuka Malaysia Piala YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman (ADUN) Telok Mas di Dewan Komuniti Kemas, Telok Mas, Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Daud berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, menyaksikan pertandingan kategori berpasukan berlangsung di Dewan Komuniti KEMAS, Telok Mas, hari ini.

Menurutnya, lebih membanggakan apabila pihaknya turut menerima penyertaan dari Sarawak yang sanggup datang ke Melaka untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Memang tidak sangka kami menerima penyertaan peserta dari Sarawak, selain itu berdasarkan rekod peserta teramai adalah dari negeri Johor dan Kelantan.

“Pertandingan kali ini di Melaka ada sedikit kelainan, kami tidak gunakan format kalah mati sebaliknya memperkenalkan kategori ‘looser pool’,” katanya.

Jelasnya, untuk penganjuran pertandingan pada tahun hadapan, Adun Duyong sudah menawarkan diri menjadi tuan rumah kejohanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2671
Kongsi :
Previous post ULANG TAHUN KE-30: PELBAGAI PERSEMBAHAN MENARIK DISAJI KEPADA PENGUNJUNG MAHKOTA PARADE
Next post SIDANG DUN BAJET 2025 : SEKTOR PELANCONGAN DAN PELABURAN JADI TUMPUAN
Ubah saiz-+=