Sorting by

×

KAKAK, ADIK MAUT DALAM KEMALANGAN BABIT DUA KENDERAAN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

IPOH, 8 Jan – Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Pasir Puteh di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa Nur Amira Balqis Armi, 22, yang bekerja sebagai jurujual, manakala adik Muhammad Armirul, 15, pelajar sebuah sekolah menengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata kejadian kira-kira 10.35 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda dinaiki dua beradik terbabit serta sebuah Toyota Vellfire dipandu seorang wanita berusia 38 tahun.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Toyota Vellfire dalam perjalanan dari rumahnya ke arah Ipoh Garden dan disyaki gagal mematuhi lampu isyarat semasa di lokasi kejadian.

“Motosikal yang datang dari arah sebelah kanan terus melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga dua beradik itu.

Lee yang turut berada di lokasi kejadian memaklumkan pihaknya akan membantu urusan pengurusan jenazah kedua-dua mangsa bagi meringankan beban keluarga mereka.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post PEMANDU CEDERA, LORI TANGKI DAN KERETA TERBAKAR
Next post LORI TANGKI REMPUH TRELER SEBELUM TERBAKAR
Ubah saiz-+=