
KAK SOM OPTIMIS TUNAI MANIFESTO
PENGKALAN BATU 15 April – Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) antara janji manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sudah ditunaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, pembinaan SRA JAIM di Bachang itu dijangka siap sepenuhnya pada 2027 dengan melibatkan kos RM6.8 juta.
“Saya bersyukur pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang lalu berlangsungnya majlis pecah tanah SRA JAIM yang amat diperlukan oleh penduduk kawasan ini.
“Selain itu, kita juga telah bersetuju untuk menambah bangunan baharu di Klinik Kesihatan Peringgit yang kini dalam proses naik taraf,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata antara isu yang telah berjaya diselesaikan adalah isu banjir melibatkan lokasi dalam DUN Pengkalan Batu.
“Kita sudah kenal pasti lokasi kerap berlaku banjir kilat, ada kawasan kita sudah tangani namun beberapa lagi dalam proses tindakan lanjut.
“Insya-Allah saya akan tunaikan semua janji sebelum PRN akan datang, saya mahu memberikan yang terbaik kepada penduduk di DUN Pengkalan Batu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.