Kak Ina komited jaga imej Pantai Puteri

Masa Membaca:4 Minit, 9 Saat

PANTAI KUNDOR 14 September – Lokasinya terletak di pesisir pantai menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor khususnya Pantai Puteri, tempat tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negeri untuk beriadah mahupun melakukan aktiviti air.

Meskipun begitu, keadaan pantai yang terkesan dengan ancaman hakisan menyebabkan persekitaran dahulunya indah kini tidak lagi ‘enak dipandang’ apabila kawasan hakisan itu berlaku dengan teruk malah kebanyakkan pokok juga tumbang menyembah bumi.

Tidak mahu situasi terus mencacatkan kawasan sekitar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim, fokus dalam mencari penyelesaian segera menangani isu itu daripada terus berlarutan, selain merangka beberapa perancangan serta memperkenalkan produk pelancongan baharu di kawasan itu.

Mesra disapa Kak Ina, beliau berkata, peruntukkan kira-kira RM30 juta sudah diterima untuk kerja baik pulih hakisan dengan pembinaan pemecah ombak dan kini kajian sedang dijalankan bagi mendapatkan kaedah terbaik untuk pembinaan struktur yang akan dibuat sekali gus dapat menyelesaikan masalah hakisan.

“Kita dalam perancangan cuba tarik lagi pelancong ke Pantai Puteri tetapi ia bergantung kepada baik pulih pantai, selagi pantai tidak dibaik pulih tiada tambakan hasrat kita untuk menyusun kira-kira 120 peniaga dengan kemas serta teratur di empat lokasi dikenal pasti tidak dapat dilaksanakan. Malah perancangan untuk bangunkan ‘glamping’ juga mungkin terjejas.

1
TUMINAH turun padang melihat masalah hakisan pantai di Pantai Puteri. Foto: MR. AZLI

“Kalau kita tambak kira-kira 60 meter ke tengah laut, pantai cantik segala perancangan kita dapat dilaksanakan segera. Saya agak risau kerana bimbang hakisan akan merebak sehingga ke jalan utama. Kita mahukan pelancong selesa dan dalam waktu sama peniaga boleh dapatkan hasil disebabkan itu saya minta kerja baik pulih ini dipercepatkan.

“Kalau ikutkan juga Pantai Puteri kita hendak jadikan ‘hotspot’ pelancongan dan dimasukkan ke dalam portal pelancongan Negeri Melaka. Dari segi prasarana tiada masalah kita mempunyai tempat penginapan yang cukup cuma keadaan pantai sahaja yang bermasalah,”
katanya.

4
IKON Pantai Puteri. Foto: MR AZLI

CAKNA MASALAH NELAYAN

Menurutnya, menyelesaikan permasalahan nelayan di kawasan itu juga adalah agenda utama antaranya menjalankan kerja baik pulih jeti dan pangkalan nelayan sebelum tibanya monsun Barat Daya penghujung tahun ini.

“Jeti nelayan di Pantai Puteri ini sekarang dalam pembinaan yang menelan belanja kira-kira RM200,000 dan kita masih ada dua yang belum dijalankan baik pulih iaitu Jeti Pengkalan Perigi dan Jeti Pantai Kundor. Untuk Pantai Kundor saya sudah minta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) masukkan dalam satu bajet kerana keadaan jeti itu sudah uzur, sampai masa untuk dibaik pulih.

“Selain itu ada juga isu nelayan lain yang masih dalam perbincangan bagi mendapatkan penyelesaian dan ia diberi keutamaan kerana ramai nelayan tradisional di enam buah jeti nelayan yang terdapat di Pantai Kundor,” katanya.

BINA MASJID, SEKOLAH AGAMA

Menurutnya, pihaknya juga kini dalam usaha untuk menyegerakan pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Tanjung Kling, yang tertangguh lebih dua tahun dan menyebabkan lebih 200 muridnya terpaksa menumpang di sekolah berhampiran.

“Yang ini saya kejarkan, saya juga sudah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya bagi pembinaan semula bangunan sekolah ini yang dianggarkan menelan belanja RM6 juta tetapi ianya masih belum ada kelulusan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk membolehkan projek ini berjalan.

“Keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh dengan jumlah pelajar seramai 2,000 orang, yang menumpangkan murid SRA Jaim ini amat padat dan sudah pasti dengan kapasiti itu memberikan suasana tidak selesa buat anak-anak ini untuk belajar, jadi saya amat berharap agar kelulusan peruntukan dapat diberikan segera kerana sudah berlarutan dua tahun setengah,” katanya.

2
MENINJAU tanah tapak pembinaan masjid baharu di Kampung Bukit Darat, Melaka. Foto: MR. AZLI

Selain itu, Tuminah berkata, pihaknya juga kini berusaha untuk menyiapkan pembinaan masjid di Bukit Darat yang tertangguh kira-kira tujuh tahun lalu atas beberapa faktor agar dapat memberi keselesaan kepada penduduk.

“Pembinaan ini tertangguh antara enam hingga tujuh tahun dan selepas melalui beberapa proses ia kemudian diamsukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) cuma kini kalau dapat kita mahu dipercepatkan kerana ini adalah salah satu keperluan bagi menampung kepadatan penduduk setempat,” katanya.

HIMPUN PENIAGA IKS

Sementara itu, beliau berkata, diberi tanggungjawab dan amanah DUN Pantai Kundor sudah pasti dia mempunyai impian dan cita-cita untuk membawa perubahan dan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada semua penduduk setempat dengan merancang pembinaan sebuah ‘one stop centre di kawasan itu yang akan menghimpunkan peniaga IKS.

“Saya ada perancangan dan ianya juga antara manifesto saya untuk peniaga IKS di sini, sebenarnya di sini ramai peniaga IKS dan kita punya geragau, cencalok, belacan, inang-inang dan beberapa produk lagi yang boleh dipasarkan tetapi ada sedikit kekangan dari sudut pemasaran.

“Bila ada ‘one stop centre’ ini kita akan himpun semua di sini. Saya bayangkan premis tiga tingkat yang berkonsepkan seakan Pasar Payang, Terengganu. Kalau kita tengok di Pantai Puteri pada Jumaat, Sabtu dan Ahad akan sesak dengan pelancong dan menjadi tumpuan, jadi ia akan menjadi tarikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2608
Kongsi :
Previous post Cari penyelesaian ‘pujuk’ lepasan SPM ke menara gading
Next post 200 tikar percuma kepada pengunjung Hari Malaysia 2022
Ubah saiz-+=