Sorting by

×

Kajian perlu dilakukan untuk kenal pasti punca hakisan pantai

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Kajian khusus perlu dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam mengenal pasti faktor penyumbang kepada berlakunya hakisan pantai di negeri ini yang makin membimbangkan.

Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, faktor semula jadi seperti ombak, angin serta air pasang besar diketahui antara penyumbang utama kepada hakisan, bagaimanapun kemungkinan ianya terjadi disebabkan faktor lain seperti manusia perlu ditentukan melalui kajian.

Bagaimanapun katanya, JPS Melaka masih menunggu kelulusan permohonan dari kerajaan negeri untuk mengenal pasti punca hakisan serius yang tiba-tiba berlaku.

“Kejadian ini berlaku mungkin juga disebabkan faktor seperti daripada manusia tetapi, belum ada kajian lagi untuk mengatakan sedemikian tetapi ‘perangai’ pantai ini kita tidak boleh ‘mengusiknya’ lebih, disebabkan itu sekiranya JPS melakukan kerja untuk mengatasi hakisan kita akan ikut bentuk pantai itu semula jika tidak ia akan berubah.

“Kita boleh berfikir bermacam-macam, tetapi sekiranya tiada bukti tidak boleh menyalahkan sesiapa.

“Permohonan untuk menjalankan kajian sudah dibuat pada Oktober, kalau kajian diluluskan kita akan dapat puncanya dan daripada situ JPS akan memperoleh cara untuk mengelakkan atau sekat hakisan pantai ini daripada terus terjadi,” katanya

 

HAKISAN pantai di Tanjung Dahan menyebabkan kerosakan pada infrastruktur awam. Foto Syaf Rumaizie Syafie

Menurut beliau, pihaknya juga turut membuat permohonan kepada Ketua Pengarah JPS Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali agar dapat menghantar kumpulan pakar ke Melaka untuk memberi pandangan berkaitan hakisan pantai yang berlaku dan kaedah penyelesaian.

“Permohonan ini turut disokong Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan jika boleh ia dapat disertakan dengan peruntukan.
“Semalam (Selasa) saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Ir Ismail Othman berjumpa dengan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi membincangkan hal ini memandangkan kebanyakan pantai yang terjejas adalah dikawasan beliau.

“Pada pertemuan itu juga saya membantu ADUN Kuala Linggi memperjelaskan tentang keperluan mendapatkan peruntukkan bagi mengatasi hakisan pantai dan Tuan Ibrahim mengambil serius hal ini selain pihak beliau akan mengambil tindakan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, walaupun pada masa ini hakisan pantai yang berlaku hanya membabitkan kira- kira dua peratus dengan jarak dua kilometer daripada 90 kilometer panjang pantai di Melaka, namun sekiranya dibiarkan ianya akan menjadi lebih teruk.

“Sebelum ini hanya lima hingga enam kawasan pantai dan sekejap sahaja sudah menjadi 10 lokasi yang dikesan kawasan pantai berlaku hakisan.

“Kita mahu elakkan ianya menjadi teruk sehingga menjejaskan kawasan penempatan dan kerosakkan harta benda serta nyawa bagaimanapun sehingga kini tiada penempatan yang terjejas cuma kawasan pelancongan dan nelayan,” katanya.

Ujarnya, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingin berlaku dikawasan pelancongan seperti di Pantai Puteri dan kawasan chalet di Alor Gajah pihaknya akan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasang papan tanda amaran, selain pengunjung juga perlu peka dengan keadaan sekeliling.

Views:

1906
Kongsi :
Previous post Tiada pencemaran air di pusat sampah haram
Next post Isu habuk arang batu: Syarikat terlibat akur selesaikan masalah
Ubah saiz-+=