Sorting by

×

Kaji semula projek RTB tertangguh

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 7 April – Permasalahan membabitkan projek rancangan tebatan banjir (RTB) tertangguh hingga menyebabkan berlaku banjir akan dibincangkan bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, pertemuan bersama Kor Ming itu penting bagi membawa segala isu berkaitan projek RTB di Negeri Melaka ke Kerajaan Persekutuan.

“Mohon beri saya sedikit masa untuk melihat kembali status projek berkenaan. Sebelum ini portfolio pengurusan bencana di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tetapi kali ini diseragamkan bawah satu portfolio termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exconya, Zulkiflee Mohd Zin dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput memberi jaminan akan menyelesaikan isu banjir yang berlarutan 20 tahun dalam kawasannya di Taman Bukit Rambai dan beberapa lokasi sekitar.

“Menyelesaikan isu banjir dalam kawasan Paya Rumput juga antara petunjuk prestasi utama (KPI) diri saya selepas menggalas portfolio penting ini,” katanya.

Ends//

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post Gotong-royong bersepadu bersihkan Melaka
Next post Nikmat rai Aidilfitri di rumah baharu
Ubah saiz-+=