Kaji pemberian vaksin anak berusia 12 hingga 17 tahun- PM
PUTRAJAYA 15 Jun – Kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin COVID-19 kepada anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun selepas melihat kepada perkembangan positif kadar vaksinasi di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga semalam (14 Jun) sebanyak 197,963 dos suntikan vaksin telah diberikan buat rakyat di negara ini.
“Semalam pemberian vaksin mencecah 197,963 dos hampir 200,000 dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan lebih kepada 300,000 dos vaksin diberikan sehari dalam bulan-bulan mendatang.
“Kita bukan sahaja berjaya memberi vaksin kepada hampir semua ‘frontliner’, malahan 50 peratus golongan berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama.
“Kita juga akan terus mengutamakan golongan rentan COVID-19 yang lain dan mereka berusia 18 tahun ke atas dan terkini kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak-anak kita yang berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat hari ini.
Menurutnya sememangnya perkembangan positif kadar vaksinasi harian itu memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan bersama.
“Ini kerana lebih ramai dilindungi dengan vaksinasi semakin longgar kawalan pergerakan dilaksanakan, semakin banyak aktiviti sosial dan ekonomi dibuka dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik.
“Dengan kadar vaksinasi semakin meningkat dan tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan, saya percaya jumlah kes harian COVID-19 akan terus mencatatkan penurunan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.