Kaedah bayar cukai tanah diperluaskan menerusi JomPAY

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 7 April – Kerajaan negeri memperluaskan kaedah pembayaran cukai tanah di Melaka menerusi JomPAY.

Kaedah itu memudahkan pembayar cukai menunaikan tanggungjawab, sekali gus membantu kerajaan negeri mengutip hasil cukai tanah tertunggak kira-kira RM72 juta secara lebih berkesan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kaedah pembayaran secara atas talian itu boleh digunakan menerusi 42 bank di seluruh negara.

Katanya, caj perkhidmatan RM0.40 bagi setiap transaksi dikenakan kepada 400,000 pemilik tanah dan strata di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Pembayaran menerusi kaedah JomPAY sudah bermula sejak 1 Mac lalu, yang mana setakat akhir bulan lalu, 11,000 transaksi dilakukan dengan nilai kutipan cukai tanah dan strata sebanyak RM1.5 juta,” katanya pada sidang media di pejabat MMKN di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian, Datuk Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, selain menanggung caj perkhidmatan JomPAY, kerajaan negeri turut memberikan potongan diskaun setiap tahun bagi menggalakkan pemilik tanah dan strata membayar cukai masing-masing.

“Selain itu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri turut bekerjasama dengan AmBank untuk memberikan cabutan bertuah kepada pengguna JomPAY dengan hadiah bernilai RM10,000.

“Diharapkan usaha ini dapat membantu pembayar cukai tanah dan petak menunaikan tanggungjawab mereka disamping promosi diskaun 10 peratus cukai tanah dan petak yang masih berjalan.

“Tunggakan cukai sehingga ini merekodkan sebanyak RM72 juta namun setiap tahun kita mengharapkan dapat mengutip separuh daripada itu, kalau boleh. Itu sebabnya diberikan diskaun setiap untuk galakkan mereka bayar,” katanya.

Untuk rekod, lebih RM90 juta cukai tanah dan strata berjaya dikutip pada tahun 2021 manakala lebih RM86 juta dikutip pada tahun sebelumnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1977
Kongsi :
Previous post ‘Bang Chik’ lone ranger tumpas
Next post Tidak perlu bawa anak kecil ke bazar – Ketua Menteri
Ubah saiz-+=