![Whatsapp Image 2025 02 10 At 11.53.31 Am](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-11.53.31-AM.jpeg?v=1739159731)
KADAR ZAKAT FITRAH DI MELAKA DITETAPKAN RM7, RM15 DAN RM22
BUKIT PALAH 10 Februari – Zakat fitrah bagi Negeri Melaka tahun ini ditetap pada tiga kadar iaitu RM7, RM15 dan RM22, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, penetapan tiga kadar zakat fitrah itu adalah berdasarkan kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Melaka Bilangan 4/2024.
“Mesyuarat bersetuju menetapkan kadar satu gantang Baghdad bagi beras Super Tempatan (Gred A) bersamaan 2.6 kilogram.
“Kadar zakat fitrah pula RM7 seorang bagi pengguna beras super special tempatan, RM15 seorang bagi pengguna beras super special import dan RM22 bagi pengguna beras basmathi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halem Tawil dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Menurut Ab Rauf, sejumlah RM85.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri menerusi pembentangan Bajet 2025 demi kelangsungan pengurusan dan pembangunan hal ehwal agama Islam di Melaka.
“Ia mencakupi perbelanjaan emolumen penjawat awam, guru-guru KAFA, tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pengurusan pensijilan halal, pembelajaran pelajar dan pembangunan sekolah, masjid serta surau.
“Malah Kerajaan Negeri turut memahami bebanan ibu bapa apabila memperuntukkan RM360,000 bagi membiayai sebahagian yuran pendaftaran di Tadika JAIM,” katanya.
Jelas beliau, semua inisiatif dilaksanakan itu demi memartabatkan syiar Islam di samping meletakkan hal ehwal agama Islam sebagai perkara paling utama di dalam pengurusan pentadbiran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.