Kadar wanita jalani saringan kanser payudara masih rendah di Melaka – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Kanser payudara menjadi ‘pembunuh senyap’ nombor satu di negara ini, namun kadar wanita menjalani ujian saringan Mamogram bagi pengesanan awal penyakit itu masih rendah di Negeri Melaka.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memberi sebanyak 1,500 baucar saringan Mamogram secara percuma namun hanya 600 baucar sahaja sudah diambil dan digunakan.

Katanya, bagi meningkatkan kesedaran wanita terhadap kanser pembunuh nombor satu negara itu, beliau bersama pihak LPPKN negeri giat melaksanakan pelbagai program di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya meminta wanita-wanita menyahut seruan kerajaan untuk segera membuat saringan awal melalui pelbagai program disediakan. Jangan tunggu parah baru buat saringan, ambillah kesempatan dan peluang diberikan.

“Hal ini kerana dalam kalangan 10 wanita, enam daripadanya berisiko untuk menghidap kanser payudara, jadi saya minta sempena bulan kesedaran kanser ini, pergilah ke pejabat LPPKN atau mengikuti laman sosial LPPKN dan berdaftarlah, kerana sekurang-kurangnya dengan menjalani ujian saringan ini mampu mengesan permasalahan atau tanda-tanda awal serangan kanser.

“Kerajaan banyak menyediakan kemudahan, kempen kesedaran dan pelbagai inisiatif namun sambutan masyarakat dingin dek kerana terlalu takut untuk terima kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bulan Kesedaran Kanser Payudara di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kalsom turut memaklumkan kadar wanita yang menjalani saringan ujian pap smear (HPV/DNA) turut rendah di Melaka.

Ujarnya, kedua-dua baucar ujian Mamogram dan pap smear itu boleh didapati dengan mendaftar di pejabat LPPKN negeri.

“Mereka (yang ingin mendapatkan baucar) perlulah mendaftar dahulu kepada LPPKN sebelum menerima baucar ujian saringan Mamogram atau pap smear, supaya pihak kita boleh memantau individu yang ingin menjalani ujian saringan terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2130
Kongsi :
Previous post Tingkat kawalan keselamatan di sekolah, bendung kes culik – Kalsom
Next post Tuah pertama kali sertai pertandingan memancing
Ubah saiz-+=