Sorting by

×

Kadar pengangguran Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Kadar pengangguran di Melaka merekodkan peningkatan mendadak kepada 9,700 orang dalam tempoh suku kedua tahun ini berbanding 5,000 pada suku pertama tahun sama, menjadikan jumlah peningkatan sebanyak 2.2 peratus

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata peningkatan mendadak itu diperolehi berdasarkan laporan Perangkaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri yang disebabkan faktor pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 1,000 mahasiswa turut direkodkan menganggur dan tidak ditawarkan sebarang pekerjaan.

“Berikutan itu, pelbagai program ditambah baik dalam bidang kemahiran termasuk menyediakan pelbagai kursus di kolej negeri termasuk kolej komuniti dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), jadi penganggur atau individu tidak bekerja boleh membaiki diri atau melanjutkan kemahiran yang dimahukan.

“Begitu juga kursus ‘rehiring’ atau ‘reskilling’ yang boleh dilakukan di ILP Bukit Katil, di mana syarikat menghantar pekerja bagi menambah baik kemahiran.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengambil inisiatif dengan menaja 40 anak negeri Melaka dengan kos RM25,000 seorang bagi mengikuti kursus di Insitut Latihan TNB Sultan Haji Ahmad Shah selama enam bulan,” katanya.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Adly Zahari (AMANAH-Bukit Katil) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi membolehkan rakyat negeri yang sedang mencari pekerjaan dan golongan penggangur meneroka peluang pekerjaan bersama majikan, kerajan negeri menganjurkan Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans 2020 yang diadakan pada 19 Ogos lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Hasilnya kerajaan negeri berjaya membantu seramai 1,073 individu mendapatkan pekerjaan, manakala 812 individu lagi sedang menunggu panggilan temu duga,” katanya.

Views:

762
Kongsi :
Previous post Pelitup muka, ‘hand sanitizer’ percuma kepada pelajar di Melaka
Next post Melaka bebas berniaga 2021
Ubah saiz-+=