Kabinet setuju beri subsidi ayam, telur kepada penternak

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Kabinet bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya berkata Jemaah Menteri turut bersetuju memberikan subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Feb hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM),” katanya.

Menurut Ronald, tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Beliau turut berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan.

Katanya, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri.

Ini bagi memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan, katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Takraw: Akramuddin umum tidak pertahan jawatan
Next post Omicron: Duduk rumah atas inisiatif sendiri, tak perlu tunggu arahan – Pakar
Ubah saiz-+=