Juruterbang pelatih cedera ringan, pesawat tergelincir dari landasan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LANGKAWI, 30 Mac – Seorang juruterbang pelatih wanita cedera ringan apabila pesawat latihan yang dikendalikannya, tergelincir dari landasan ketika sedang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi ke tempat kejadian.

“Kejadian melibatkan sebuah pesawat latihan komersial (swasta) jenis Diamond-14 yang tergelincir dari landasan dan menyebabkan mangsa berumur 28 tahun, mengalami kecedaraan ringan di bahagian pinggang dan lutut di kedua-dua bahagian kaki.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua penerbangan terkandas akibat kejadian dan antara penumpang yang terlibat ialah pengamal media yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Program Pemukiman AJK Kelab Media Se-Malaysia 2022 bermula 28 hingga 30 Mac.

Menurut Setiausaha Kelab Media Putrajaya Samantha Tan yang juga merupakan petugas Bernama di Biro Putrajaya berkata beliau bersama penumpang lain, yang sepatutnya berlepas pada pukul 8.10 malam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) masih berada dalam pesawat, dan sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak lapangan terbang itu.

“Keadaan dalam pesawat masih terkawal walaupun ada kanak-kanak yang menangis dan kru pesawat sedang mengagihkan makanan kepada penumpang. Masih belum pasti bila pesawat boleh meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pesawat jenis Diamond DA-40D, 9M-HMW yang dikendalikan HM Aerospace Sdn Bhd (HMA) itu, hilang kawalan semasa pendaratan sebelum terbabas keluar dari landasan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo berkata kemalangan menyebabkan kerosakan pada struktur kapal terbang, namun pesawat tersebut telah dialihkan pada 10.25 malam ini, bagi memastikan keselamatan operasi landasan.

“Landasan telah dibuka kepada penerbangan berjadual komersil pada 10.29 malam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Nelayan kena tambah ilmu
Next post Alumni 4B banyak berjasa untuk kerajaan dan masyarakat
Ubah saiz-+=