‘Jurutera’ fertigasi terung
DURIAN TUNGGAL 13 Mac – Mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dipelajari agar kebun yang diusahakan lebih tersusun, peralatan berfungsi secara sistematik seterusnya mengeluarkan hasil lumayan, setimpal dengan keringat diperah.
Itulah kelebihan Muhammad Adli Zikri Rosdi, 24, graduan kejuruteraan polimer yang kini menjadi petani moden sepenuh masa yang mengusahakan kebun di Parit Melana, di sini, bersama bapanya Rosdi Mohamed, 49, sejak hampir tiga tahun lalu.
Meskipun tanah sendiri yang dimiliki cuma sekangkang kera, itu bukan alasan bagi Muhammad Adli untuk tidak mengembangkan perusahaan dijalankan.
Sebaliknya untuk terus maju pemuda ini bersama bapanya mengeluarkan modal tambahan untuk menyewa tanah terbiar kemudian diusahakan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran.
Akibat tawaran pekerjaan yang terhad ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pemuda ini pada mulanya mengusahakan tanaman sayur secara kecil-kecilan.
Atas semangat mahu memajukan diri dia sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan lagi jumlah pendapatan dengan bertani dan ia dibuktikan selepas Muhammad Adli mengusahakan lebih 100,000 pokok nanas, pisang dan sayur-sayuran.
“Minat dalam bidang pertanian bermula selepas saya membantu ayah di kebun yang diusahakan di tapak yang disewa, peluang yang ada digunakan untuk belajar mengenal dan menguruskan pokok.
“Memang penat dan cabaran utama adalah perasaan malas, namun kembali bersemangat selepas melihat pokok membesar dan mengeluarkan hasil. Timbul rasa kepuasan, seronok seperti tetapi. Tanaman pertama saya usahakan adalah ‘rock melon’ ketika PKP pertama,” katanya.
Setakat ini Muhammad Adli sudah menikmati hasil jualan hasil 10 kali tuaian sayur-sayuran dan buah-buahan yang diusahakan bersama bapanya.
Sebagai orang muda dia amat menggalakkan belia untuk meneroka bidang pertanian berikutan permintaan terhadap bekalan makanan sentiasa ada dan mendatangkan keuntungan.
“Kerja ini memang seronok sebab rutin saya hanya bangun seawal pagi hingga tengah hari untuk mengerjakan ladang dan boleh berehat pada bila-bila masa sebab berdekatan dengan rumah.
“Sekarang saya banyak habiskan menjaga 6,600 polibeg terung yang diusahakan secara fertigasi, tuaian dilakukan tiga kali seminggu. Setiap kali tuaian berat terung boleh mencapai 150 kilogram.
“Alhamdulillah terung mendapat permintaan tinggi daripada pemborong yang datang sendiri ke sini untuk dihantar ke Selayang, Selangor dan beberapa negeri lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.