Jurutera ditipu Macau Scam, rugi RM71,000
AYER KEROH 16 Feb. – Seorang jurutera kerugian RM71,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dirinya terlibat dalam penggubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajah berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 26 tahun itu menerima panggilan pada 26 Januari lalu daripada seorang individu yang mendakwa wakil daripada syarikat penghantaran barang dari Beijing, China.
Katanya, menerusi panggilan itu, suspek mendakwa mangsa ada membuat penghantaran ke negara itu namun dalam bungkusan itu terdapat banyak kad debit.
“Suspek juga mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram sebelum panggilan itu disambungkan kepada pegawai polis dari negara berkenaan dan meminta mangsa memuat naik aplikasi Skype bagi memudahkan urusan siasatan.
“Sepanjang urusan siasatan berkenaan, suspek mengarahkan mangsa memasukkan wang bagi tujuan siasatan dan menyelesaikan kes dihadapi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa yang dalam keadaan ketakutan mengikut arahan suspek dan membuat empat kali transaksi pembayaran.
“Pembayaran yang keseluruhannya berjumlah RM71,000 dipindahkan ke dalam dua akaun berbeza.
“Bagaimanapun, mangsa diarahkan membuat pembayaran lagi sebelum menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati nombor digunakan suspek mempunyai empat rekod yang menggunakan modus operandi sama.
“Polis mengingatkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi Semak Mule CCID bagi membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank sebelum membuat sebarang urusan bagi mengelak menjadi mangsa,” katanya.