Sorting by

×

Jururawat maut motosikal dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 26 Ogos – Seorang jururawat lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa Muhammad Salleh Md Sabri, 32,
yang bertugas di sebuah hospital swasta disahkan meninggal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan maut itu membabitkan tiga kenderaan termasuk motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa.

Katanya, sebelum kemalangan mangsa dan kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari Masjid Tanah menghala ke Sungai Udang manakala Perodua Axia dipandu guru lelaki berusia 50 tahun dari arah bertentangan.

“Siasatan awal dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Axia didakwa memotong garisan berkembar dan memasuki laluan bertentangan ketika tiba di lokasi kejadian.

“Akibat daripada itu, kenderaan terbabit kemudian melanggar mangsa sebelum dia tercampak ke bahu jalan.

“Selepas perlanggaran itu, kereta Proton Saga yang turut berada dilaluan sama dengan motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh Perodua Axia terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan dibahagian kaki dan kepala kemudian disahkan meninggal di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat manakala pemandu Perodua Axia turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kesemua kenderaan terlibat kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5998
Kongsi :
Previous post SPRM tahan lima termasuk dua beradik seleweng diesel subsidi nelayan
Next post Suami isteri didakwa cuai sebabkan anak perempuan positif dadah
Ubah saiz-+=